Sunday, December 19, 2010

Terjelas akidah tidak percaya makhluk halus

005: Terjelas akidah tidak percaya makhluk halus

SOALAN pertama, pernahkah berlaku dalam sejarah Islam, hantu dijadikan bahan pameran? Kedua, terkesankah akidah umat Islam apabila ada yang menolak mentah-mentah pameran itu, dengan mengatakan pameran sedemikian adalah syirik dan wajib dijauhi kerana hantu sedemikian tidak pernah wujud

RIDUAN ABDUL
Kota Raja, Selangor


Jawapan Pertama

DARIPADA maklumat saya yang terbatas khasnya dalam bidang pameran yang dimaksudkan, saya tidak pernah bersua sebarang maklumat mengenainya, sejarah, meskipun ba­nyak buku-buku rujukan tentang makhluk halus yang saya ikuti. Tidak pernah didengari makhluk halus telah menjadi makhluk kasar berupa paras, ditangkap dan dimatikan oleh manusia untuk dijadikan bahan pameran.

Sebenarnya dalam kehidupan insan, kita sentiasa bertemu dengan maklumat, ada beberapa kumpulan masyarakat Barat dan Timur, begitu bersungguh mahu membuktikan makhluk halus secara fizikal.

Saya sendiri ditemui beberapa pengkaji luar negara seperti Ame­rika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah. Mereka menemu ra­mah saya dan disiarkan di televisyen Perancis dan dalam Discovery Channel, meminta saya menggambarkan makhluk halus daripada penga­laman yang sebenar.

Secara fizikalnya belum ada yang dapat membuktikan ia wujud. Secara imaginasinya hasil penga­laman pertemuan dalam beberapa episod dan interaksi insan yang dirasuk makhluk halus; itulah yang paling banyak boleh digambarkan.

Banyak orang menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapat bukti nyata, seperti memasang kamera yang dihalakan di tempat-­tempat yang didakwa ada makhluk halus. Dikumpulkan beberapa orang di tempat tertentu dan mereka berkomunikasi dengan makhluk ini. Semua berlaku sekadar imbasan, bayangan dan rupa parasyang tidak pasti.

Dalam istilah Arab, hal-hal yang sedemikian ini disebutkan “al-ash-baah atau bayang-bayang. Seolah-­olah masyarakat Arab menggam­barkan makhluk halus tidak lebih daripada bayang-bayang yang boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang. Maka dengan itu, sampai ke pe­ringkat ada yang tidak mempercayai makhluk halus wujud kerana tidak pernah dilihat secara fizikal, sama ada dilihat dengan mata atau dipe­gang dengan tangan.

Oleh itu jelas dalam sejarah tidak pernah wujud sebarang pameran makhluk halus yang dijelmakan untuk tontonan manusia. Apa yang dipamerkan bukan realiti kerana realitinya belum pernah berlaku.

Jawapan Kedua

TIDAK mempercayai adanya makhluk halus yang diistilahkan sebagai syaitan, jin dan iblis, sama dengan hantu, polong, langsuyar atau sebagainya, ia menjejaskan akidah. Manakala mempercayainya memperkukuhkan akidah.

Makhluk ini disebut begitu banyak dalam al-Quran. Bukan sa­haja berulang kali disebut perkataan jin, iblis atau syaitan sahaja, tetapi al-Quran dan al-Hadis turut menggambarkan hal kejadian mereka, beban amanah yang mereka tanggung sebagai makhluk, hal mereka beriman, mereka kufur, mereka menyakiti anak Adam, mereka berma­syarakat, berkahwin dan beranak­-pinak. Ada pun menolak mentah-­mentah adanya makhluk itu, mena­fikan kewujudan mereka, ertinya menafikan benarnya al-Quran.

Merujuk kepada pameran yang dimaksudkan, untuk mengatakan ia syirik, persoalan ini perlu dilihat daripada beberapa sudut. Sudut wujudnya makhluk halus itu, ia adalah suatu realiti.

Jika dilihat daripada sudut, bolehkah manusia mempercayai makhluk-makhluk ini boleh melin­dungi manusia, lalu manusia meminta perlindungan daripada mereka sehingga manusia menya­hut seruan supaya melakukan sesuatu yang syirik seperti menyembelih binatang untuk mereka, melakukan ibadah atas perintah mereka, melupakan Allah sebagai pelindung dan menjadikan syaitan sebagai pelindung, hantu sebagai pembela dan sebagainya.

Bagi yang menolak mentah-mentah pameran seperti ini, terpulang kepada bicara ilmu masing-masing. Jika diyakini bahawa yang dipamerkan itu sebenarnya bukan hantu, tetapi adalah karya seni yang dikatakan realiti, maka membo­hongi masyarakat jika sesuatu yang tidak wujud dikatakan wujud (dijel­makan dalam bentuk realiti).Juste­ru, eloklah masyarakat berhati-hati untuk mempercayainya.

Sebab itu saya mencadangkan supaya bahan-bahan yang dipamer­kan itu (yang dikatakan hantu), diuji dalam makmal dan dibuat kajian akademik bagi membuktikan ianya sebagai benar, supaya masyarakat tidak tertipu.Menerima dan meno­lak itu adalah hak manusia, tetapi hak ilmu untuk dibuktikan, harus dijadikan panduan untuk mengajar manusia menerima suatu hakikat sebelum mempercayainya.

Saya sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan dianjurkan pameran itu? Sekiranya ia bertujuan memberi pengetahuan sebenar kepada masyarakat tentang alam makhluk halus maka ia perlu diasaskan pada asas ilmu yang sah di sisi Islam.

Jika ia suatu bisnes mengguna­kan suatu teknik untuk menarik perhatian pengunjung dan menghasil­kan tujuan material sedangkan bahan yang dipamer bukan realiti, maka ia memerlukan suatu pembe­tulan.

Kita tidak mahu masyarakat ter­tipu dengan gambaran yang tidak betul. Diandaikan ia dibuat hasil kajian yang menyeluruh, dan ia benar-benar realiti, kita boleh berbangga. Dunia umumnya belum dapat membuktikan hal sedemikian, tetapi rakyat Malaysia boleh!  

Wallahu ‘alam.


(Petikan dari ruangan Bersama Dato’ Dr. Haron Din akbar Harakah 16-31 Ogos 2006)

Bolehkah Orang Islam berkahwin dengan Jin Islam?

SJ011: Bolehkah Orang Islam berkahwin dengan Jin Islam?

Soalan
Ada seorang ditempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olahnya ada yang menguruskannya. Persoalan besar saya bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak pinak dengan makhluk halus?

Jawapan
Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah S.W.T. Persoalan sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami' as-Saghir oleh Imam as-Sayuti.
Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya), "Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga". (Surah an-Nahli ayat 72)
Firman Allah (mafhumnya), "Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah S.W.T." (Surah ar-Rum, ayat 21).
Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai.
Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus orang lain tidak nampak, kita nampak seorang sahaja, atau mungkin kita pun tidak nampak tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita.
Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah s.a.w menegah manusia mengahwini jin.
Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin, jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram.
Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik.
Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama.
Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam, apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima.
Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam.
Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.
Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, "Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta."

http://www.darussyifa.org/SJ011.php

Kisah Ustaz Haron Din pindahkan jin menggunakan Bas adalah tidak benar

Kisah Ustaz Haron Din pindahkan jin menggunakan Bas adalah tidak benar

Masih kedengaran di seluruh negara yang memperka­takan kehebatan Dato’ Dr Haron Din ‘memindahkan’ jin dari sebuah kawasan ke tempat lain menggunakan beberapa buah bas.

Kata Ustaz Haron yang juga pengamal perubatan alternatif Islam, perkara ini sudah lama timbul dan berlaku agak lama, ia ber­kaitan bantuan dan khidmat beliau kepada Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM) pada 1980-an.



Pada hari kejadian kata­nya, berlaku histeria ataupun fenomena rasuk di kalangan pelajar dan pekerja di UKM. Puncanya dikaitkan dengan dua pokok besar yang condong ke bangunan Canselori. Kontraktor tidak berani tebang. tetapi akhirnya beliau mengambil kepu­tusan menebang sendiri dan seterusnya membakar pokok tersebut.

“Makhluk halus yang mendiami pokok tersebut mengamuk kerana mereka mendakwa bahawa itu adalah tempat  kedia­mannya. Saya berjaya mententeramkannya dengan pertolongan Allah dan kea­daan menjadi elok selepas itu,” kata Ustaz Haron Din.

Begitu juga katanya, dengan satu kejadian yang ada hubung kait dengan dua pokok besar lagi di UKM yang tidak sanggup ditebang kontraktor wa­laupun ditawarkan harga tiga kali ganda. Kedua-dua pokok tersebut jika ditumbangkan akan terkena tiang elektrik dan juga landasan kereta api KTM berhampiran.

‘Pihak UKM memanggil saya untuk menebangnya. Saya bersetuju dengan dua syarat iaitu tidak menerima sebarang upah dan minta pihak UKM menghubungi pihak KTM menangguhkan seketika perjalanan kereta api dan TNB harus pastikan tidak berlaku pintasan elektrik.”

Memandang pokok besar itu berhampiran sebuah kuil Hindu, seorang sami memberi amaran agar beliau tidak menebang pokok tersebut. Jika tidak dakwanya, akan berlaku malapetaka atau menye­babkan kematian orang­-orang di sekitar.

Ustaz Haron tidak men­jawab amaran itu, sekadar berkata: “Saya tetap akan tebang pokok ini dan saya tidak mahu perkara tidak baik berlaku.”

“Saya tebang sendiri dengan seorang pembantu menggunakan ‘jigsaw’ (gergaji berantai). Memang benar ada keganjilan pada pokok itu kerana ia tidak tumbang pada mulanya walaupun nampak hampir putus. Setelah menggu­nakan kaedah tertentu, akhirnya ia tumbang juga,” katanya.

Dua kejadian ini katanya disaksikan hampir 200 orang. Ada yang mendak­wa membantu beliau memindahkan makhluk halus itu menggunakan kenderaan dan melepas­kannya ke Pulau Pinang. Ada juga yang mendakwa, nampak makhluk halus itu dalam has dan menga­kibatkan bas tersebut menjadi berat.

Tidak benar sama sekali cerita itu. Saya memin­dahkan jin menggunakan kaedah tertentu dan saya berjaya berhubung dengan jin tersebut menggunakan kaedah ‘frekuensi’ dan akhirnya jin-jin tersebut bersetuju untuk berpindah,” katanya.

[(Petikan dari Akhbar Harakah Bil. 1333 (16-30 April 2007)]