Sunday, December 19, 2010

Terjelas akidah tidak percaya makhluk halus

005: Terjelas akidah tidak percaya makhluk halus

SOALAN pertama, pernahkah berlaku dalam sejarah Islam, hantu dijadikan bahan pameran? Kedua, terkesankah akidah umat Islam apabila ada yang menolak mentah-mentah pameran itu, dengan mengatakan pameran sedemikian adalah syirik dan wajib dijauhi kerana hantu sedemikian tidak pernah wujud

RIDUAN ABDUL
Kota Raja, Selangor


Jawapan Pertama

DARIPADA maklumat saya yang terbatas khasnya dalam bidang pameran yang dimaksudkan, saya tidak pernah bersua sebarang maklumat mengenainya, sejarah, meskipun ba­nyak buku-buku rujukan tentang makhluk halus yang saya ikuti. Tidak pernah didengari makhluk halus telah menjadi makhluk kasar berupa paras, ditangkap dan dimatikan oleh manusia untuk dijadikan bahan pameran.

Sebenarnya dalam kehidupan insan, kita sentiasa bertemu dengan maklumat, ada beberapa kumpulan masyarakat Barat dan Timur, begitu bersungguh mahu membuktikan makhluk halus secara fizikal.

Saya sendiri ditemui beberapa pengkaji luar negara seperti Ame­rika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah. Mereka menemu ra­mah saya dan disiarkan di televisyen Perancis dan dalam Discovery Channel, meminta saya menggambarkan makhluk halus daripada penga­laman yang sebenar.

Secara fizikalnya belum ada yang dapat membuktikan ia wujud. Secara imaginasinya hasil penga­laman pertemuan dalam beberapa episod dan interaksi insan yang dirasuk makhluk halus; itulah yang paling banyak boleh digambarkan.

Banyak orang menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapat bukti nyata, seperti memasang kamera yang dihalakan di tempat-­tempat yang didakwa ada makhluk halus. Dikumpulkan beberapa orang di tempat tertentu dan mereka berkomunikasi dengan makhluk ini. Semua berlaku sekadar imbasan, bayangan dan rupa parasyang tidak pasti.

Dalam istilah Arab, hal-hal yang sedemikian ini disebutkan “al-ash-baah atau bayang-bayang. Seolah-­olah masyarakat Arab menggam­barkan makhluk halus tidak lebih daripada bayang-bayang yang boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang. Maka dengan itu, sampai ke pe­ringkat ada yang tidak mempercayai makhluk halus wujud kerana tidak pernah dilihat secara fizikal, sama ada dilihat dengan mata atau dipe­gang dengan tangan.

Oleh itu jelas dalam sejarah tidak pernah wujud sebarang pameran makhluk halus yang dijelmakan untuk tontonan manusia. Apa yang dipamerkan bukan realiti kerana realitinya belum pernah berlaku.

Jawapan Kedua

TIDAK mempercayai adanya makhluk halus yang diistilahkan sebagai syaitan, jin dan iblis, sama dengan hantu, polong, langsuyar atau sebagainya, ia menjejaskan akidah. Manakala mempercayainya memperkukuhkan akidah.

Makhluk ini disebut begitu banyak dalam al-Quran. Bukan sa­haja berulang kali disebut perkataan jin, iblis atau syaitan sahaja, tetapi al-Quran dan al-Hadis turut menggambarkan hal kejadian mereka, beban amanah yang mereka tanggung sebagai makhluk, hal mereka beriman, mereka kufur, mereka menyakiti anak Adam, mereka berma­syarakat, berkahwin dan beranak­-pinak. Ada pun menolak mentah-­mentah adanya makhluk itu, mena­fikan kewujudan mereka, ertinya menafikan benarnya al-Quran.

Merujuk kepada pameran yang dimaksudkan, untuk mengatakan ia syirik, persoalan ini perlu dilihat daripada beberapa sudut. Sudut wujudnya makhluk halus itu, ia adalah suatu realiti.

Jika dilihat daripada sudut, bolehkah manusia mempercayai makhluk-makhluk ini boleh melin­dungi manusia, lalu manusia meminta perlindungan daripada mereka sehingga manusia menya­hut seruan supaya melakukan sesuatu yang syirik seperti menyembelih binatang untuk mereka, melakukan ibadah atas perintah mereka, melupakan Allah sebagai pelindung dan menjadikan syaitan sebagai pelindung, hantu sebagai pembela dan sebagainya.

Bagi yang menolak mentah-mentah pameran seperti ini, terpulang kepada bicara ilmu masing-masing. Jika diyakini bahawa yang dipamerkan itu sebenarnya bukan hantu, tetapi adalah karya seni yang dikatakan realiti, maka membo­hongi masyarakat jika sesuatu yang tidak wujud dikatakan wujud (dijel­makan dalam bentuk realiti).Juste­ru, eloklah masyarakat berhati-hati untuk mempercayainya.

Sebab itu saya mencadangkan supaya bahan-bahan yang dipamer­kan itu (yang dikatakan hantu), diuji dalam makmal dan dibuat kajian akademik bagi membuktikan ianya sebagai benar, supaya masyarakat tidak tertipu.Menerima dan meno­lak itu adalah hak manusia, tetapi hak ilmu untuk dibuktikan, harus dijadikan panduan untuk mengajar manusia menerima suatu hakikat sebelum mempercayainya.

Saya sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan dianjurkan pameran itu? Sekiranya ia bertujuan memberi pengetahuan sebenar kepada masyarakat tentang alam makhluk halus maka ia perlu diasaskan pada asas ilmu yang sah di sisi Islam.

Jika ia suatu bisnes mengguna­kan suatu teknik untuk menarik perhatian pengunjung dan menghasil­kan tujuan material sedangkan bahan yang dipamer bukan realiti, maka ia memerlukan suatu pembe­tulan.

Kita tidak mahu masyarakat ter­tipu dengan gambaran yang tidak betul. Diandaikan ia dibuat hasil kajian yang menyeluruh, dan ia benar-benar realiti, kita boleh berbangga. Dunia umumnya belum dapat membuktikan hal sedemikian, tetapi rakyat Malaysia boleh!  

Wallahu ‘alam.


(Petikan dari ruangan Bersama Dato’ Dr. Haron Din akbar Harakah 16-31 Ogos 2006)

No comments:

Post a Comment