Sunday, December 19, 2010
Terjelas akidah tidak percaya makhluk halus
Bolehkah Orang Islam berkahwin dengan Jin Islam?
http://www.darussyifa.org/SJ011.php
Kisah Ustaz Haron Din pindahkan jin menggunakan Bas adalah tidak benar
Thursday, October 22, 2009
Soal Jawab dgn Dato' Harun Din (SJ001)
Soalan
Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.
Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.
Jawapan
Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."
Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut
tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam.
SJ019: Pameran Hantu Shah Alam: Mengapa Hantu yang diawet tidak marah?
Bersama Dato' Dr Haron Din
Thursday, February 7, 2008
Soalan
Bolehkah Dato' jelaskan, kini masyarakat Malaysia heboh memperkatakan pameran hantu di Shah Alam (Jun hingga Julai 2006) yang berjaya menarikramai pengunjung.
1. Apakah benar yang ditunjukkan itu hantu yang sebenarnya?
2. Bolehkah hantu ditangkap, dibunuh dan diawet sedemikian rupa untuk pameran? Tidakkah hantu-hantu lain akan marah apabila manusia melakukan hal tersebut kepada anggota masyarakat mereka?
Abdul Aziz Jailani
Shah Alam
Jawapan 1
Hantu adalah merujuk kepada istilah yang digunakan dalam masyarakat Melayu yang dipadankan pada istilah syarak syaitan, iblis, jin, ifrit dan sebagainya.
Makhluk halus diciptakan Allah S.W.T daripada 'api yang menyala dengan garang' ertinya makhluk ini dijadikan daripada bahan yang khusus untuk mereka.
Malaikat diciptakan daripada cahaya, manakala manusia dijadikan daripada unsur tanah, yang disebutkan tanah, air, api dan angin.
Makhluk halus ini pada kebiasaannya tidak dapat dilihat oleh manusia seperti yang dijelaskan Allah S.W.T dalam al-Quran, (mafhum) firman-Nya :
"Sesungguhnya makhluk-makhluk halus itu dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah al-A'raaf, ayat 27)
Ayat ini merujuk kepada keadaan kejadian makhluk halus yang tidak dapat dipandang dengan mata kasar manusia sedangkan mereka dengan kabilah mereka (makhluk halus) dapat melihat manusia dengan begitu mudah.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa, makhluk halus daripada istilah yang disebut sama ada syaitan, jin, iblis ataupun ifrit mempunyai rupa paras mereka yang asli, bentuk khusus yang Allah S.W.T jadikan mereka.
Bentuk khusus adalah rupa asli yang tidak dapat dilihat manusia. Namun demikian Allah S.W.T yang mengetahui hikmah kejadian makhluk halus ini, mengizinkan kepada mereka pada keadaan tertentu untuk menjelmakan diri mereka menjadi rupa-rupa yang dikenali manusia.
Lazimnya mereka zahir dalam bentuk ular hitam, anjing hitam, burung, kala jengking dan sebagainya.
Berlaku beberapa kejadian sejarah Islam, Allah mengizinkan mereka zahir menyerupai manusia seperti mesyuarat muafakat musyirikan jahilyyah Mekah untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w semasa malam hijratul rasul ke Madinah. Syaitan menyerupai Sheikh Najiddi.
Begitu juga dalam satu peperangan, makhluk halus ini menyerupai Suraqah bin Malik.
Dalam hadis sahih Muslim seorang pemuda telah membunuh seekor ular di zaman peperangan Khandak di Madinah, bila ular mati, pemuda yang membunuh ular juga mati. Ketika itu Nabi s.a.w mengatakan itu adalah angkara perbuatan jin yang memeluk Islam tetapi berlaku salah faham kerana pemuda itu menyangka itu adalah ular yang sebenar, sedangnya ianya jin, jin bertindak balas, maka pemuda itu meninggal dunia.
Makhluk halus atau hantu sememangnya wujud, tetapi pameran tersebut adakah ia menggambarkan hantu yang sebenar? Secara peribadi saya tidak pergi melihat pameran tersebut, tetapi melalui laporan akhbar, saya agak hairan bagaimana lembaga-lembaga seperti itu diberi nama jenglot, langsuyar, toyol dan sebagainya.
Dikatakan juga ianya menjadi lembaga yang dapat dilihat, dipegang dan dirasa seolah dalam alam realiti daripada makhluk halus tersebut.
Pada saya sepatutnya sebelum diberi jawapan khusus yang muktamad tentang benarkah itu adalah hantu, perlu kepada beberapa kajian yang lebih lanjut, sama ada melihat DNA makhluk tersebut, organ dalamannya, struktur jasmani yang ada pada mereka, ada darah atau ruh sebelumnya.
Hal-hal ini seperti ini boleh dilakukan secara saintifik (di zaman sains dan teknologi) dengan menggunakan peralatan canggih bagi memastikan lembaga-lembaga yang dipamerkan itu benar-benar hantu atau ia hanya suatu hasil seni yang kreatif terjemahan daripada imiginasi yang biasa wujud dalam masyarakat kita.
Bagi masyarakat Melayu memang disebut makhluk yang dinamakan jenglot (berasal daripada Indonesia) dikatakan umumnya, kununnya makhluk halus, tetapi sebenarnya apabila sudah dapat dilihat secara fizikal, ianya bukan lagi makhluk halus, ia adalah makhluk kasar.
Toyol, hantu raya, pelesit dan langsuyar sebagainya digambar dengan sedemikian rupa.
Oleh demikian hasil terjelma yang dikatakan hantu asli, amat memerlukan pengesahan daripada pakar biologi, saintis, doktor dan mereka yang mahir tentang kajipurba dengan merujuk kepada pandangan ulama yang mahir dalam bidang tersebut.
Jawapan 2
Makhluk halus ada yang tidak boleh dibunuh kerana mereka berumur panjang sampai hati qiamat dan ada yang mati (boleh dibunuh). Hanya Iblis sahaja tidak boleh dibunuh kerana ternyata dalam al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya):
"Iblis telah berkata kepada Allah, 'Wahai Tuhanku. Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Kiamat). Allah berfirman, "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau (termasuk) dari golongan yang diberikan tempoh. Hingga ke hari, waktu yang telah ditentukan." (Surah al-Hijr ayat 36, 37 dan 38)
Ahli-ahli tafsir secara umumnya menyatakan setelah iblis enggan tunduk kepada Allah S.W.T dan dilaknat serta dikeluarkan daripada syurga, mereka berdoa agar Allah memanjangkan umur mereka, maka Allah S.W.T menganugerahkan kepada mereka apa yang mereka minta iaitu berumur panjang sampai kepada hari Kiamat.
Ertinya makhluk yang termasuk dalam suku sakat iblis ini, mereka berumur panjang, dengan lain perkataan mereka tidak mati dan tidak boleh dibunuh.
Adapun selain daripada iblis seperi syaitan, jin dan sebagainya, mereka beranak pinak dan sampai umurnya mati, jelas dinyatakan bahawa mereka boleh dibunuh, khususnya disebut dalam sejarah mereka dibunuh dan mati dalam bentuk penjelmaan ular.
Banyak contoh lain, makhluk ini mati sama seperti makhluk yang dapat dilihat jisim seperti manusia, binatang dan lain-lain.
Meskipun makhluk ini mati, tetapi tidaklah sampai dapat dilihat (selain daripada bentuk penjelmaan).
Adapun dakwaan dibunuh dan diawet untuk menjadi tontotan masyarakat, saya bertawakuf untuk mengesahkan makhluk tersebut adalah hantu kerana penjelmaan sedemikian rupa tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.
Pameran tersebut seolah-olahnya membawa erti bahawa makhluk yang diawet itu merupakan rupa asli makhluk tersebut, kebetulan yang diperlihatkan adalah perkara yang wujud dalam masyarakat.
Kisah awet mengawet ini berlaku dalam alam fizikal, tetapi tidak pernah berlaku manusia boleh mengawet makhluk halus.
Sekiranya berlaku sedemikian rupa kita tidak perlu bertanya sama ada hantu lain akan marah, kerana kalau kita, manusia sendiripun, jika ada orang mati tanpa kerelaan keluarga diawet dan dipertonton sedemikian rupa, kita akan berasa marah.
Lebih-lebih lagi jika makhluk itu ditangkap dan dibunuh untuk diawetkan. Secara logiknya tentulah hantu-hantu lain (makhluk halus) akan marah kerana tabie mereka kezaliman perlu ditentang. Pelaku zalim ke atas mereka perlu mendapat hukuman.
Jika manusia menzalimi makhluk halus, maka memungkinkan mereka boleh menzalimi manusia.
Dalam keadaan manusia tidak menzalimi makhluk haluspun, sering kita dengar mereka menzalimi manusia (merasuk dan sebagainya), inikan pula tanpa sebab munasabah manusia menangkap dan membunuh untuk dijadikan tontonan.
Tetapi oleh kerana soalan yang dinyatakan tadi belum dipastikan kesahihannya, maka tindak balas makhluk halus tidak timbul.